Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Pesara Disaran Cakna Terhadap Maklumat Palsu Elak Jadi Mangsa Scam

By 22 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaidi Jamin (Sabah)

KOTA KINABALU, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Penjawat awam yang bakal bersara diingatkan agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap maklumat yang diterima, terutama di media sosial bagi menggelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan atau scam.

Kamal Affandi semasa menyampaikan ceramah berkaitan kegiatan penipuan dalam talian.

Penganalisis Jenayah yang juga aktivis sosial Kamal Affandi Hashim, berkata para pekerja yang bakal menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan bukan sahaja perlu prihatin terhadap kesihatan peribadi malah perlu cakna menghadapi sebarang maklumat dan informasi yang menjurus kepada penipuan.

“Penipuan boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira jawatan, kedudukan atau umur termasuk kalangan pesara dan bakal pesara.

“Sehubungan itu, kepada penjawat awam yang bakal bersara harus mengambil langkah awal untuk menjaga kesihatan, kekal aktif dalam kehidupan harian dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini di media sosial agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Jelajah MyPesara Sabah 2024, di sini pada Selasa.

Tambahnya, pelbagai kaedah digunakan oleh penipu untuk memperdaya mangsa, termasuk kaedah pemujukan lisan atau tulisan.

“Kaedah ini sering kali berjaya menyentuh emosi mangsa yang menimbulkan rasa simpati dan akhirnya mengakibatkan kehilangan wang yang besar,” jelasnya.

Usman ketika menyampaikan ceramah pada program tersebut.

“Justeru, bagi mengekalkan pemikiran yang positif dan terhindar daripada kegiatan penipuan dengan melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah seperti menyertai persatuan yang digemari dan mengekalkan komunikasi dengan aktif dengan rakan-rakan serta membuat senaman berkala.

“Sememangnya ledakan maklumat di media sosial semakin cepat, pantas dan mampu mengelirukan. Sehubungan itu, apabila menerima maklumat yang mengelirukan jangan kongsi, rujuk rakan-rakan atau keluarga pastikan kesahihan sumber maklumat tersebut kerana penipuan boleh berlaku tanpa mengira waktu dan tempat,” ujarnya.

Majlis anjuran Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bersama Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim itu dihadiri seramai 260 peserta terdiri daripada penjawat awam.

Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Peniagaan Amanah Raya Berhad Usman Haji Hamid turut menyampaikan ceramah bertajuk Perancangan dan Pengurusan Harta Pusaka dan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Mohd Ahadan Md Noor membentangkan ceramah berkaitan Isu-isu Semasa Pencen.

-ZS-

Tinggalkan komen anda