Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Sarawak Raih Pingat Perak, Gangsa dalam BMX dan Downhill

By 24 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak) 

KUCHING, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Acara berbasikal SUKMA XXI Sarawak 2024  yang berlangsung selama sembilan hari  berakhir kelmarin dengan pasukan tuan rumah, Sarawak sekadar berada di tempat keempat dalam acara Basikal Bukit – Cross-Country Team Relay, ketinggalan 11 saat di belakang pelumba Sabah.

Kelihatan Safyia membuat pecutan ke garisan penamat.

Namun bagi jurulatih BMX Racing dan MTB Downhill Muhammad Aim Mohamad Fauzi, pencapaian skuad berbasikal wanita BMX dan downhill Sarawak disifatkan cemerlang apabila berjaya meraih dua pingat pada Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak 2024.
“Mereka menyertai SUKMA XXI tanpa meletakkan sebarang sasaran dan kejayaan meraih satu pingat perak menerusi acara BMX wanita dan gangsa dalam acara downhill wanita dan mereka telah melakukan yang terbaik,” ujarnya.

“Kami menghantar pelumba muda yang berusia antara 14 hingga 16 tahun bagi acara  lelaki dan mereka juga telah menunjukkan prestasi baik. Dengan umur yang masih muda, mereka akan diberi lebih banyak pendedahan dengan menyertai perlumbaan berkualiti termasuk di luar negara sebagai persiapan untuk SUKMA 2026,” katanya  lagi.

Aimi Nazurah Rais memenangi perak dalam acara BMX wanita.

Safyia Said, 21, yang meraih pingat gangsa dalam acara downhill wanita kelmarin mengakui sedikit kecewa kerana gagal menghadiahkan warna pingat yang lebih baik untuk Sarawak, namun dia berpuas hati apabila berjaya melakukan yang terbaik walaupun hanya sempat berlatih selama tujuh bulan.
“Sebelum ini memang saya bermain basikal namun berehat pada 2019. Setelah tiga tahun, saya kembali semula menjalani latihan  pada Februari tahun ini sebagai persediaan  menyertai SUKMA yang  pertama dan terakhir saya,” katanya.
Aimi Nazurah Rais, 15, pula menganggap bukan rezekinya untuk meraih pingat emas pada SUKMA XXI, namun pingat perak dalam acara berbasikal BMX satu permulaan baik untuknya sebelum ke SUKMA seterusnya.
“Saya menceburi BMX ini sejak lebih setahun lalu dan sempat menimba pengalaman dua kali menyertai Kejohanan Berbasikal Kebangsaan  dan pernah meraih tempat kedua di belakang pelumba Singapura manakala dalam perlumbaan Asia Championship di Thailand saya berada dalam kedudukan ketujuh Asia,” katanya.
-ZS-

Tinggalkan komen anda