Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kerajaan Selangor Tawar Insentif Tangkap Ikan Bandaraya

By 24 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

KUNDANG, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan Selangor menawarkan insentif RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan bandaraya bermula 1 September ini sebagai langkah memulihara sungai dan spesies ikan tempatan.

Izham menunjukkan ikan peacock bass sejenis ikan asing yang berjaya ditangkap dalam program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat – Memburu Ikan Asing di Tasik Biru hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim, berkata pihaknya menyasarkan untuk mengumpul 50 tan ikan berkenaan dalam tempoh sebulan pelaksanaannya.

“Lokasi pengumpulannya adalah di Sungai Langat dan perinciannya akan diumumkan esok.

“Insentif ini tumpu kepada jenis ikan bandaraya dahulu kerana jumlahnya terlalu banyak dan spesis invasif yang memberi masalah kepada ekosistem,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat – Memburu Ikan Asing di Tasik Biru, di sini hari ini.

Program anjuran Jabatan Perikanan (DOF) Selangor tersebut dihadiri 300 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat.

Salah seorang peserta memburu ikan asing sedang menebar jala di dalam Tasik Biru Kundang.

Mengulas lanjut, Izham berkata sekiranya sambutan yang diterima menggalakkan pihaknya akan memperluaskan insentif berkenaan.

“Usaha ini perlu dibuat secara berkala untuk memulihara sumber semula jadi negeri bagi memastikan ekosistem tempatan kekal seimbang dan mampan.

“Dalam proses memelihara kualiti air, kandungan air perlu diutamakan jika tidak sasarannya tidak tercapai,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda