
Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini (Bachok)
BACHOK, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Usaha menyambut saranan baik kerajaan menerusi inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di bawah Kluster Keselamatan telah mengadakan lawatan ke rumah pesara polis yang uzur pada Jumaat lalu.
IPD Bachok telah menjejaki tiga rumah pesara polis di daerah ini secara konvoi bersama Persatuan Bekas Polis Negeri Kelantan dan Pejabat Penerangan Daerah Bachok.
Menurut Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, anggota polis turut berperanan dalam menjaga kedaulatan negara sebelum merdeka sehingga kini dan menyantuni pesara polis adalah aktiviti tahunan IPD bagi menzahirkan penghargaan kepada mereka.
“Kita menyantuni para pesara pada hari ini dengan sedikit buah tangan dan turut menyampaikan Jalur Gemilang untuk dipasang di rumah mereka sebagai semangat patriotik dalam menyahut insiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang,” katanya.
Tiga pesara polis yang dilawati adalah Sarjan (B) Hussin Deris, 76, yang terakhir berkhidmat sebagai Penolong Ketua Balai Polis Tawang, Bachok, Sarjan Mejar (B) Mohamad Muda, 73, di Kampung Kok Lintang, Gunong yang pernah bertugas di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan yang kini dan Lans Koperal (B) Ahmad Bakar, 63, di Kampung Repek yang masing-masing menghidap penyakit Non-Communicable Disease (NCD).
Sementara itu Hussin Deris, berkata dia gembira dan bersyukur dengan kunjungan konvoi dari IPD kerana tiga generasi keluarganya telah berkecimpung dalam badan beruniform bermula dari arwah bapanya, Deris Said sebagai Koperal pasukan Kelantan State Police tahun 1952 dan kini dua anak turut menjejaki kerjaya sebagai anggota polis termasuk anak sulung beliau, Superintendan Ahmad Shafiki yang memegang jawatan Ketua Polis Daerah Machang.
“Pelbagai cabaran dan pengalaman saya tempuhi semasa berkhidmat dan saya pernah menyaksikan tiga rakan sekerja cedera parah akibat terkena jerangkap samar ketika menentang komunis di Perak,” katanya.
Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang meliputi lima kluster iaitu Kluster Komuniti, Kluster Pendidikan Menengah, Kluster Keselamatan, Kluster Pendidikan dan Kluster Kesihatan.
-ZS-