
Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)/Jabatan Penerangan
PUTRAJAYA, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi Fahmi Fadhil mengingatkan semua pelajar Sekolah Menengah agar berhati-hati ketika menggunakan media sosial.
Menurutnya, walaupun pelajar-pelajar Sekolah Menengah dibenarkan memiliki akaun media sosial namun, mereka perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang maklumat peribadi disalahgunakan.

Pelajar SMK Seri Pantai gembira mengibarkan Jalur Gemilang.
“Bagi pelajar-pelajar Tingkatan atau Sekolah Menengah, walaupun mereka boleh memiliki akaun media sosial namun mereka juga harus berhati-hati kerana sering kali maklumat kita diguna pakai oleh platform-platform ini untuk tujuan-tujuan samada komersial.
“Malah yang merisaukan sama ada maklumat kita, maklumat peribadi kita seperti sekolah mana, kita pergi di mana, rumah kita, siapa adik-beradik kita maklumat seperti ini boleh ditonton oleh orang yang tidak kita kenali,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut memberi peringatan agar pelajar-pelajar sentiasa berhati-hati supaya maklumat peribadi mereka tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah.
Beliau, berkata demikian ketika ditemui media selepas program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Kuala Lumpur, dekat sini pagi tadi.

Fahmi menyerahkan potret rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah kepada Pengetua SMK Seri Pantai Sharin Hanum Ab Rahman.
PENTARAMA X Kelab Malaysiaku merupakan satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Jabatan Penerangan dalam usaha untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini dan meningkatkan semangat patriotisme serta cintakan negara kepada kumpulan sasar khususnya para pelajar sekolah.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.
-ZS-