
Laporan/foto: Noor Azian Saad
PENDANG, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Daerah Pendang (MDP) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menganjurkan Program Semarak Merdeka dan Gotong-Royong Pengindahan Bandar bertempat di perkarangan Bangunan Anggerik, di sini semalam.

Edaran pakaian secara percuma atau ‘free market’ yang turut memeriahkan program.
Pelbagai acara telah dilaksanakan antaranya gotong-royong di sekitar kawasan bangunan perniagaan seperti Bangunan Anggerik, Bangunan Melor, Bangunan Eykarose Garden, Bangunan Bunga Raya, Bangunan Cempaka serta Bangunan Majlis Daerah Pendang.
Menurut Penolong Pegawai Tadbir MDP Bismayazar Yusoff, objektif program ini adalah untuk menjadikan Pendang sebagai satu daerah yang sihat dan sejahtera serta bebas dari wabak.
“Pengindahan bandar juga dibuat sempena menyambut Tahun Melawat Kedah pada tahun hadapan,” ujarnya.

Peserta program memulakan aktiviti gotong-royong seawal pukul 8.00 pagi.
Selain itu, bagi merealisasikan inisiatif kempen Kibaran Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan, aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang juga telah diadakan bagi menaikkan semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan masyarakat setempat.
Program yang telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pendang Nasrun Datuk Mohd Sheriff ini juga telah dimeriahkan dengan aktiviti mewarna kanak-kanak, program kitar semula, aktiviti melukis mural, mengecat bangunan usang serta free market iaitu edaran pakaian terpakai secara percuma.
-ZS-