
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Jabatan Penerangan
PUTRAJAYA, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Beberapa aspek persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada Sabtu ini perlu diperbaiki.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata terdapat beberapa aspek penyelarasan yang perlu ditambah baik untuk memastikan sambutan pada 31 Ogos ini berlangsung dengan sempurna.

Aksi pasukan tentera negara bakal merancakkan sambutan Hari Kebangsaan pada Sabtu ini.
“Kita doakan semoga semua persiapan dan juga acara nanti berjalan dengan baik serta lancar,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024.
Menurutnya lagi, raptai penuh sambutan pada hari ini berlangsung tanpa sebarang masalah dengan semua perarakan dan persembahan berjalan mengikut perancangan.
Putrajaya menjadi tuan rumah kali keenam selepas julung kali diadakan pada tahun 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.
Seramai 100,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan acara sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.
Pengendali perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang, Rapid KL buat pertama kali akan beroperasi 24 jam pada malam 30 Ogos ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Pengunjung raptai tidak melepaskan peluang merakamkan detik-detik menarik raptai.
Rapid KL menyediakan sehingga 60 bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya bermula 6.00 petang, 30 Ogos hingga 3.00 petang, 31 Ogos.
Sebanyak 80 bas ulang-alik (shuttle bus) akan disediakan secara percuma dengan kekerapan masa selama 15 minit pada hari berkenaan yang beroperasi bermula pada pukul 4 pagi hingga 2 petang di tiga lokasi iaitu Terminal D, Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 (laluan 1); Putrajaya PICC, Presint 5 ke GDC Plant 4, Presint 4 (laluan 2); dan Taman Botani, Presint 1 ke Dataran Putra Presint 1 (laluan 3).
Perkhidmatan teksi air disediakan seawal pukul 5.00 pagi hingga 12.00 tengah hari secara percuma kepada para pengunjung meliputi laluan Jeti Ayer@8 Presint 8 ke Jeti Monumen, Presint 2 (laluan 1); Jeti Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8 ke Jeti Monumen, Presint 2 (laluan 2); dan Jeti Marina Putrajaya, Presint 5 ke Jeti Anjung Floria, Presint 4 (laluan 3) dengan kekerapan masa masing-masing selama 10, 15 dan 20 minit.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat ini.
-ZS-