Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Warna-Warna Jalur Gemilang Meriahkan Majlis Sambutan Ambang Merdeka Peringkat SK Kayang

By 29 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah

KANGAR, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Warna-warna Jalur Gemilang dalam Program Jiwa MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Kayang sempena Bulan Kebangsaan, memeriahkan kejayaan sekolah memeterai perjanjian bersama Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Perlis sebagai Rakan Strategik.

Detik memeterai Perjanjian Rakan Strategik bersama SK Kayang dan JaPen Perlis.

Perjanjian tersebut menjadi acara kemuncak Program Sambutan Penutup Bulan Kebangsaan dan sambutan Ambang Merdeka Peringkat SK Kayang dengan kemeriahan para pelajar dan guru berpakaian bertemakan Jalur Gemilang.

Menurut Guru Besar sekolah Rosmani Man,  sejak dari awal Ogos lalu pelbagai program dan aktiviti telah berjaya dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

“Antaranya adalah penyertaan bersama JaPen Perlis ketika Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Perlis 2024, penubuhan Jawatankuasa Merdeka Peringkat SK Kayang dan antara aktiviti yang telah dijayakan oleh SK Kayang adalah menghias sekolah dan setiap kelas dengan tema kemerdekaan yang juga diberi sokongan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah,” katanya pagi tadi.

Kemeriahan para pelajar dengan pakaian bertema Jalur Gemilang.

Pengarah Penerangan Negeri Perlis Mazli Hamdan ketika ucapan perasmian, berkata program sebegini dapat meningkatkan kesedaran semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan di peringkat sekolah-sekolah dalam negeri Perlis.

“Dengan memeterai perjanjian sebagai Rakan Strategik Bersama JaPen Perlis, ia menunjukkan SK Kayang adalah antara yang bersemangat dan sentiasa mendokong program-program bersifat kenegaraan.

“Antara program yang telah dijayakan bersama adalah seperti KMJG Peringkat Negeri Perlis yang turut disokong oleh Pelajar SK Kayang dan juga seperti majlis pada hari ini,” ujarnya.

Pada program tersebut pelajar Tahun Lima Nur Qhadija Aisya Badrul Hisham, 11, memukau hadirin yang hadir dengan persembahan sajak dan nyanyian lagu bertajuk ‘Warisan’ sambil diiringi muzik keyboard daripada guru Emerenthina Judith Charles.

-ZS-

Tinggalkan komen anda