
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebagai menzahirkan semangat cintakan negara, dua warga emas mengayuh basikal sejauh 140 kilometer (km) meliputi empat daerah di Kelantan bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Mohd Amin Ahmad (Hadapan) bersama Azmi Yusuff mengayuh basikal melepasi Sempadan Daerah Pasir Mas – Tanah Merah.
Mohd Amin Ahmad, 57, yang berasal dari Kampung Bertam Gua Musang amat teruja dan terharu apabila dapat mengayuh basikal yang dihiasi Jalur Gemilang dengan modal serendah RM100 sahaja.
“Saya sudah biasa mengayuh basikal kerana rutin harian menjaja petai ke merata tempat untuk dijual kepada orang ramai dengan mendapat bekalan dari Hulu Kelantan.
“Sepanjang perjalanan saya mengayuh basikal dengan hiasan bendera Malaysia, ramai pengguna jalan raya memberi sokongan dan perhatian dengan membunyikan hon kenderaan,” katanya, ketika ditemui di Kampung Paloh Tanah Merah ketika melepasi sempadan Pasir Mas – Tanah Merah semalam.

Dua orang sahabat mengayuh basikal dengan hasrat mengelilingi 4 daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang.
Turut serta dalam kayuhan kemerdekaan ini adalah Azmi Yusuff yang berumur 67 tahun.
“Saya hanya menemani sahabat saya untuk mengayuh basikal dengan hasrat mengelilingi empat daerah bermula dari daerah Tumpat dan berharap selamat sampai ke destinasi terakhir iaitu di daerah Kota Bharu.
“Kami turut mendapat jemputan dari pihak sekolah di Wakaf Baru, Tumpat untuk menyertai perarakkan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
-ZS-