Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Glamping Jiwa Merdeka 2024 Semarak Sambutan Hari Kebangsaan ke-67

By 30 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Jabatan Penerangan

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Glamping Jiwa Merdeka 2024 berjaya menyemarakkan lagi semangat pengunjung untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya pada Sabtu ini.

Nurul Aymatun berharap Glamping Jiwa Merdeka 2024 diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.

Acara yang julung kali diadakan sempena hari penting yang dirayakan oleh seluruh rakyat itu diadakan di Stadium Mini, Taman Pancarona, Presint 18, di sini dihadiri 581 ahli keluarga daripada penyertaan 122 tapak khemah dan 15 buah campervan atau karavan.

Pesara guru dari Rantau Panjang, Klang, Selangor Hajjah Nur Azmah Haji Mat Perak, 61, yang mengetahu mengenai program ini melalui hebahan radio dan rakan-rakan camper, berkata ianya merupakan salah satu cara untuk mengekspresasikan jiwa merdeka.

“Saya rasa lokasi untuk glamping ini sesuai, sebab tempat di taman, tetapi saya rasa kalau dapatlah Perbadanan Putrajaya menganjurkan Camper Rally Putrajaya.

“Kalau boleh, dibuat kerjasama dengan Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM)  sebab kalau melalui situ, mungkin ramai lagi penyertaan daripada rakan-rakan camper (pekhemah),” katanya.

Nur Azmah hadir bersama suaminya yang juga seorang pesara guru Haji Azman Haji Manib, 60, berharap penganjur program ini pada tahun hadapan mendapat sambutan yang lebih baik.

Antara 159 kanak-kanak yang menyertai Pertandingan Mewarna Jiwa Merdeka.

Seorang lagi peserta Nurul Aymatun Huda Remeli, 42, yang berasal dari Kelantan dan kini menetap di Klang selama 14 tahun turut berpendapat program tersebut berjaya menyemarakkan semangat merdeka peserta.

“Di samping kita boleh semarakkan semangat merdeka, kita dapat berkenalan-kenalan dengan peserta-peserta yang lain.

“Boleh diteruskan untuk tahun-tahun akan datang dan fasiliti yang disediakan perlu ditambah baik seperti menyediakan poin soket,” katanya.

Antara pengisian utama Glamping Jiwa Merdeka 2024 ialah Pertandingan Mewarna Jiwa Merdeka, Persembahan Patriotik Jiwa Merdeka, Tayangan Filem MALBATT: Misi Bakara dan Pertandingan Hiasan Khemah Jalur Gemilang.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Rubaayah Osman dan Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Erwin Khairul Ahmad.

-ZS-

Tinggalkan komen anda