
Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Seperti kebiasaan menyambut Hari Kebangsaan, saban tahun warga Komuniti MADANI Kampung KEDA Asam Jawa mengadakan program istimewa sempena ambang merdeka dalam suasana penuh meriah dan ceria.

Warga KEDA Asam Jawa yang menjayakan program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI sempena ambang merdeka.
Program yang bermula seawal pukul 5.00 petang menantikan tibanya detik 12.00 tengah malam, diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya sukaneka, pertandingan pakaian beragam, pertandingan nyanyian lagu patriotik dan majlis tahlil serta doa selamat.
Timbalan Pengerusi Komuniti MADANI Kampung KEDA Asam Jawa Talib Kasim ketika ditemui, berkata bahawa program ini diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme terutama dalam kalangan golongan belia dan kanak-kanak.
“Golongan muda perlu tahu kepentingan menyambut Hari Kemerdekaan kerana mereka adalah generasi yang akan mewarisi negara dan kemerdekaan ini kelak,” ujarnya semalam.

Bacaan yasin, tahlil dan doa selamat sementara menantikan detik 12.00 tengah malam.
Penduduk bersemangat memulakan persiapan bagi menyambut ambang merdeka sejak seminggu yang lalu dengan setiap daripada mereka mempunyai tugas dan peranan masing-masing demi memastikan sambutan pada kali ini disambut penuh meriah dan bermakna.
-ZS-