
Laporan/foto: Muhammad Arief /Hafizah Rahim (Marang)
MARANG, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – “Di halaman terbuka ini bersihkan jiwa dari sebarang prasangka, tanam semangat kejituan warga pada nusa, teguhkan niat menyimpul setia di persada merdeka, esok kau juga seperti ayah, menjunjung patuh daulat negara, mengenal baik ufuk tanah air warganya,” antara bait-bait sajak yang penuh makna dideklamasikan Mohd Zarir Mohamed Ali, 46, penyajak Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) di puncak Bukit Lubuk Batu, di sini kelmarin.

Sesi gambar bersama Ketua Polis Negeri Terengganu.
“Pendekatan dalam memupuk rasa cinta dan jiwa merdeka melalui sajak kemerdekaan ini merupakan satu kelainan dalam menyemarakkan semangat patriotisme malah ia juga menjadi salah cara untuk kita hayati pengorbanan para pejuang yang telah berjuang demi tanah air Malaysia dalam meraih kemerdekaan,” ujarnya.
Program Community Policing Marang Merdeka Hike 2024 mendapat sambutan hangat disertai kira-kira 300 orang peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, ahli Komuniti MADANI serta masyarakat setempat.

Sesi penyerahan Jalur Gemilang oleh Sait Yaman kepada Mohd Khairi sebagai gimik perasmian.
Program yang bermula seawal 7.00 pagi ini dimulakan dengan sesi penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengarah Penerangan Negeri Terengganu Sait Yaman kepada Ketua Polis Negeri Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin sebagai simbolik perasmian.
-ZS-