
Laporan/foto: Nor Juliana Jamri/Halim Aman (Hulu Langat)
BANGI, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Laungan Merdeka menjadi simbolik Sambutan Ambang Merdeka Bangi sempena Program JIWA Komuniti Madani@Parlimen Bangi yang diadakan di sini malam tadi.

Persembahan silat.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bangi bersama Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat dan Komuniti MADANI Parlimen Bangi ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut salah seorang pengunjung, Siti Nurhafiza, 36, beliau merasa bangga dan kagum dengan pengisian program Sambutan Ambang Merdeka 2024 dan mengharapkan program berbentuk patriotisme ini dapat dianjurkan setiap tahun.
“Saya membawa anak-anak ke program ini bagi mendedahkan dan memberi pengalaman kepada mereka erti kemerdekaan dan semangat cintakan negara disamping penglibatan anak-anak dalam melakukan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan dalam program ini,” katanya ketika ditemu bual.

Salehuddin Klewan Pegawai Penerangan Daerah Hulu Langat mengibarkan Jalur Gemilang di Ambang Merdeka Bangi.
Ahli Parlimen Bangi Syaredzan Johan dalam ucapannya menyatakan penghargaan terima kasih di atas sambutan orang ramai dalam menjayakan Sambutan Ambang Merdeka Bangi sempena Program JIWA Komuniti Madani@Parlimen Bangi kali ini.
“Sambutan dan penyertaan orang ramai amat menggalakkan, tahniah kepada anda semua kerana menzahirkan erti kemerdekaan dengan sama-sama menyertai program patriotik bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya Pound Fitness with Hanis, pertandingan mewarna, aktiviti sukaneka, persembahan tarian singa, persembahan kebudayaan, deklamasi sajak dan cabutan bertuah.
Program turut dihadiri oleh Pegawai Penerangan Daerah Hulu Langat Salehuddin Klewan dan ketua-ketua Komuniti MADANI Parlimen Bangi.
-ZS-