
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATU CAVES, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Pembinaan Kompleks Islam Wira Damai bernilai RM33 juta bakal memberi manfaat kepada 10,000 penduduk sekitar.
Selain ruang solat yang boleh menampung seramai 2,719 jemaah, ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan tertutup, sekolah rendah agama serta kuarters kakitangan masjid.

Amirudin bergambar bersama tetamu jemputan selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Islam Wira Damai hari ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata projek kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di atas tanah seluas 10.5 ekar dijangka siap 2027.
“Pembinaan komplek ini menggunakan konsep nusantara bersesuaian dengan cuaca, suhu dan alam sekelilingnya.
“Pewartaan kawasan dan Kebenaran Merancang (KM) sedang diproses dan pembinaan dijangka bermula awal tahun hadapan,” katanya semasa sidang media, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr. Mohammad Fahmi Ngah.
Menurut Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, masjid di kompleks tersebut juga mampu mengurangkan kesesakan di Masjid Nakhoda dan Masjid Jamek Al-Amaniah.
-ZS-