
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Jabatan Penerangan Negeri Perlis
KANGAR, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Kampung Ujung Bukit, Sungai Tambun Tulang dan Kampung Wang Kelian adalah antara lokasi yang menyerlahkan keindahan negeri Perlis bagi program Komuniti MADANI@Merdeka yang telah dijayakan.
Walaupun program-program bersifat kenegaraan dan meningkatkan semangat patriotik mungkin kelihatan kurang menarik, namun setiap program yang dilaksanakan oleh Komuniti MADANI di Perlis sentiasa memaparkan keindahan alam semula jadi di negeri Perlis.
“Ketika saya mengikuti program-program anjuran Komuniti MADANI ini, saya sangat kagum bukan sahaja sokongan kepada program tetapi juga tempat-tempat yang diadakan aktiviti-aktiviti tersebut.
“Seperti baru-baru ini program di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, aktiviti kayuh perahu panjang di Sungai Tambun Tulang,” kata Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Mazli Hamdan ketika ucapan penutup Perasmian Program Komuniti MADANI@Merdeka di Kampung Ujung Bukit, di sini petang tadi.
“Dan hari ini, aktiviti melalui sawah padi dan bukit-bukit di Kampung Ujung Bukit ini. Saya juga kagum dengan masyarakat di Perlis, yang sentiasa memberi sokongan terhadap agensi kerajaan seperti, Jabatan Penerangan, Perpaduan dan juga KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat).
“Masyarakat di negeri Perlis dilihat sentiasa menonjolkan sikap memberi sokongan bagi program-program setempat,” ujarnya.
Sehingga hari ini, penduduk Perlis sentiasa bersama-sama menjayakan program-program Jiwa Komuniti MADANI@Merdeka.
-ZS-