
Laporan/foto: Aidil Azhar Mat Isa (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke-67, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) semalam telah menyampaikan sumbangan bantuan kepada waris pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ilir.
Majlis penyampaian ini telah disempurnakan oleh Pengarah YADIM Negeri Kedah dan Perlis Dr. Ahmad Mujahid Abdullah.

Dr. Ahmad Mujahid bersama Guru Besar SK Sungai Kechil Ilir Hamizul Othman, Penghulu Mukim Sungai Kecil Ilir Abdullah Sadiq Mohd Nasir dan Pegawai Penerangan Daerah Bandar Baharu Siti Nor Asikin Haria.
Selain daripada menyampaikan bantuan, Dr. Ahmad Mujahid turut memberikan tazkirah yang bertemakan ‘Cintakan Negara’.
Dalam tazkirah tersebut, beliau mengingatkan para hadirin tentang pentingnya menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan menyeru semua lapisan masyarakat untuk menanamkan semangat patriotisme, terutama dalam kalangan generasi muda.
Menurut salah salah seorang penerima bantuan Salmah Jaafar, 37, program seperti ini penting untuk menyemai semangat cintakan negara kepada generasi muda dalam kalangan pelajar sekolah.
“Saya berharap agar program seumpama ini diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan semangat patriotik terus subur dalam diri setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Seorang penerima bantuan, Noraini Abdul, 45, berkata program ini amat bermanfaat.
“Bukan sahaja mendidik anak-anak mengenai kemerdekaan dan cinta akan negara, tetapi juga membantu meringankan beban keluarga dengan sumbangan yang diberikan,” katanya.
-ZS-