
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Mohd Rizal Matasan
KOTA KINABALU, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Pengunjung yang hadir pada sambutan Hari Sabah di Padang Merdeka teruja untuk menyaksikan pertunjukan kereta berhias.
Wan Essah Chomar, 42, sanggup meredah kesesakan lalu lintas demi membawa ahli keluarga untuk menyaksikan perarakan kereta berhias yang julung kalinya diadakan sempena sambutan hari bersejarah itu.

Wan Essah Chomar (kiri) bersama ahli keluarga.
“Saya dan ahli keluarga menempuh kesesakan lalu lintas dan berjalan kaki ke tapak program di Padang Merdeka ini untuk menyaksikan sendiri perarakan kereta berhias.
“Saya membawa anak-anak agar mereka tahu kementerian, jabatan, dan agensi yang ada di negeri kita kerana penyertaan kereta berhias ini melibatkan pelbagai agensi,” katanya ketika ditemui di majlis Sambutan Hari Sabah di Padang Merdeka, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, kereta berhias yang dipasang dengan pelbagai warna lampu LED itu turut menarik perhatian golongan muda untuk merasai kemeriahan Sambutan Hari Sabah bersama masyarakat pelbagai kaum.
Meluahkan rasa keterujaanya, Nurulhafizah Abdul Hanafi, 22, berkata sambutan kali ini sangat istimewa dan berharap akan diadakan lebih meriah pada masa akan datang.
“Saya sangat gembira dan rasa berbaloi datang ke sini walaupun terpaksa meredah kesesakan lalulintas. Saya berharap akan ada lebih banyak program sebegini di negeri ini dengan penganjuran yang lebih meriah,” ujarnya.

Antara persembahan Sambutan Hari Sabah 2024.
Selain itu Syabil Fakhrullah Erdiehazzuan, 13, berkata ianya adalah pengalaman pertama kalinya menyaksikan perarakan kereta berhias bersama keluarga.
“Hari ini saya datang bersama ayah yang kebetulan sedang bertugas, jadi saya mengambil peluang ini untuk menyaksikan perarakan kereta berhias. Saya gembira dapat hadir dan berharap ada lagi program sebegini pada masa akan datang,” katanya
Untuk rekod, sejumlah 16 kereta berhias melibatkan pelbagai kementerian dan agensi di Sabah telah terlibat antaranya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Majlis Daerah Lahad Datu, dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Perarakan kereta berhias tersebut adalah salah satu pengisian program Karnival Hari Sabah yang berlangsung dari 24 Ogos hingga 1 September 2024 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
-ZS-