Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Simulasi Pengundian Beri Peluang Pelajar Rasa Suasana Pilihan Raya

By 5 September 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farid Izzemeer/Hanizatul Azwa (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 5 Sep (Malaysiaaktif) – Lebih 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz berpeluang merasai suasana dan kehangatan pilihan raya semasa Program Simulasi Pengundian berlangsung di Dewan Azizian, di sini kelmarin.

Aktiviti simulasi pengundian tersebut dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perak bersempena dengan Program JIWA MADANI@Kelab Malaysiaku bagi peringkat sekolah di daerah Hilir Perak.

‘Pengundi’ (berdiri) ketika melalui proses saringan sebelum dibenarkan mengundi.

 

Pegawai Penerangan Daerah Nurlaila Abdul Azid, berkata program JIWA MADANI@Kelab Malaysiaku adalah landasan Jabatan Penerangan dalam mendekati pelajar sekolah menengah khususnya ahli Kelab Malaysiaku bagi mencapai matlamat melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan memahami prinsip demokrasi yang menjadi tunjang kemajuan dan kesejahteraan negara.

“Saya berharap agar pengisian program pada pagi ini akan membawa manfaat berguna kepada para pelajar dalam menentukan siapa yang bakal menjadi pemimpin dan siapa yang bakal menerajui negara ini pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan program.

Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Abdul Aziz Haji Baharudin Mohd Inar menzahirkan penghargaan atas usaha dan inisiatif semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan program yang amat bermakna itu.

Proses simulasi pengundian ini melibatkan Pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Enam.

“Program ini sangat bermanfaat kepada para pelajar dalam menambah ilmu pengetahuan dan memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri bagaimana negara kita melalui proses pilihan raya,” ujarnya.

Pelajar Tingkatan Enam Muhd Haziq Muhd Halili, 18, berasa teruja dan gembira menjadi antara 200 peserta yang dapat mengikuti simulasi pengundian tersebut.

“Melalui program ini, saya dapat mempelajari kaedah mengundi yang betul dan pada masa sama dapat merasai keadaan sebenar semasa proses pengundian berlangsung,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda