
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar yang diadakan semalam di pulau itu bertujuan meremajakan semula Pulau Rusukan Besar sebagai salah satu destinasi pelancongan Labuan.

Antara Sukarelawan daripada pelajar institut pengajian tinggi tempatan.
Menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan, program itu adalah hasil kerjasama strategik Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan Yayasan Sukarelawan Siswa dan melibatkan lebih 300 sukarelawan.
“Pelaksanaan aktiviti CSR ini memberi fokus kepada aspek kebersihan untuk menjayakan industri pelancongan di Labuan dengan penglibatan sukarelawan gandingan badan kerajaan, komunti dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) terdiri daripada Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, Yayasan Sukarelawan Siswa, Persatuan Penggiat Media Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.
“Program CSR ini dilaksanakan secara bersiri sebanyak tiga kali, siri pertama yang diadakan pada hari ini melibatkan seramai 100 sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan pulau secara menyeluruh,” katanya.

Para sukarelawan mengutip sampah sarap yang terdapat di Pulau Rusukan Besar.
Menurutnya, siri seterusnya pada 13 hingga 16 September 2024 akan melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pengindahan termasuk kerja-kerja membaiki fasiliti sedia ada seperti anjung tinjau, jeti, tandas, ruang makan dan melukis mura-mural hiasan.
“Siri terakhir akan dilaksanakan pada 27 hingga 28 September ini yang merangkumi final touch up (sentuhan terahkir) oleh penggiat media dan pelaksanaan aktiviti promosi dan publisiti menerusi rakaman kandungan digital berkaitan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Lokasi-lokasi pelancongan termasuk keindahan Pulau Rusukan Besar agar dapat dikongsi oleh masyarakat dengan naratif positif sekali gus menaikkan rating keunikan Pulau Labuan,” menurut kenyataan itu semalam.
Hadir sama dalam program itu Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Noridah Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.
-ZS-