
Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Mior Asrul Hadi (Bagan Datuk)
RUNGKUP, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Program Bagan Datuk Berselawat yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat (SUTIDA), di sini kelmarin meriah dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Tetamu jemputan iaitu Ustaz Harryanto (berjubah hitam) dan Ustaz Ahmad Munawir (berjubah merah).
Menurut guru besar Arsat Abdul Malek, program ini dianjurkan bersempena Hari Terbuka SUTIDA dengan penganjuran SUTIDA bersama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup dan jabatan di daerah Bagan Datuk.
“Selain berselawat, acara lain yang dilaksanakan termasuklah Fun Run, Jualan Rahmah, Ceramah Kerjaya, ‘Battle of Azan’, acara memancing, tarik tali dan pameran.
“Menariknya pada acara penutup, kita menjemput dua orang tetamu istimewa iaitu penceramah bebas, Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Pengetua Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh Ustaz Ahmad Munawir Salehudin,” ujarnya.

Arsat Abdul Malek (kiri) berkata program ini merupakan anjuran bersama SUTIDA dan Pejabat ADUN Rungkup.
Sementara itu, ADUN Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya menzahirkan kegembiraan atas penganjuran program tersebut.
“Tahniah kepada SUTIDA dan terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini.
“Sambutan yang meriah menggambarkan kesepakatan penduduk dalam program yang dianjurkan di daerah ini,” katanya ketika berucap.
-ZS-