Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

27 Terima Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang ke-6

By 13 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 27 orang penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 KDPB Sultan Pahang (sesi kedua) di Istana Abdul Aziz, di sini semalam.

Baginda berdua bersemayam di singgahsana.

Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Kekanda Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dr. Hajjah Meriam Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) yang membawa gelaran Dato’ Sri Setia.

Pada majlis sama, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Ramanan Ramakrishnan; Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dato’ Indera Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan Southern Acids (M) Berhad, Dr. Low Kok Thye.

Tuanku Al-Sultan Abdullah sedang memakaikan pingat kepada salah seorang penerima.

Sementara itu, seramai empat orang penerima Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) Yang Membawa Gelaran Dato’ Indera, tujuh orang penerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) Yang Membawa Gelaran Dato’.

Dalam pada itu, 11 orang dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ yang mana Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia Ahmad Farhan Fauzi tersenarai menerima darjah kebesaran ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda