Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kemerdekaan Aspek Kesihatan Ditekankan kepada Masyarakat dalam Program JIWA Komuniti MADANI

By 13 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Malaysiaaktif)

PENDANG, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Lebih 200 pengunjung yang terdiri daripada warga Komuniti MADANI Pekan Pendang, warga kerja Hospital Pendang, Ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daerah Pendang dan pelajar Tadika KEMAS telah menghadiri program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI yang dianjurkan bersama Hospital Pendang, di sini kelmarin.

Nasrun (tengah) di majlis perasmian program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI.

Pengarah Hospital Pendang Dr. Muhammad Shauqi Abdul Kadir dalam ucapan aluannya menyarankan agar kemerdekaan ini perlu diteliti dari pelbagai aspek antaranya aspek kesihatan diri dan keluarga.

“Perlunya setiap daripada kita untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal serta memerdekakan diri sendiri daripada sebarang penyakit.

“Kita juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam, mengamalkan diet pemakanan seimbang serta sentiasa bergerak aktif bersama persatuan dan aktiviti komuniti,” ujarnya.

Pegawai Daerah Pendang Nasrun Datuk Mohd Sheriff yang menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan dalam ucapannya menyeru kepada semua masyarakat agar memberikan penekanan dan menghayati erti kemerdekaan negara yang sebenar.

Aktiviti senamrobik yang disertai oleh pelbagai lapisan umur.

“67 tahun bukanlah satu tempoh masa yang singkat, namun Malaysia masih kekal utuh sebagai sebuah negara yang merdeka serta aman dan damai.

“Tugas mengekalkan kemerdekaan itu bukanlah satu perkara yang mudah, namun setiap dari kita memainkan peranan penting dalam memastikan negara kita terus kekal merdeka,” ujarnya.

Teruja dengan penyertaan dan penglibatan warga emas dalam program seperti ini, Nasrun menyeru agar semua peserta mencontohi gaya hidup yang diamalkan oleh warga emas yang hadir pada hari ini yang masih kekal aktif dalam persatuan dan aktiviti luar.

Pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya pertandingan mewarna, sukaneka, senam robik, taklimat Pengendalian Stress oleh Pegawai Pemulihan Perubatan Carakerja, Hospital Pendang Marsila Mis dan pameran oleh jabatan dan agensi antaranya Klinik Kesihatan Pendang, Hospital Pendang, Unit Pergigian Jabatan Kesihatan, Unit Fisioterapi, Jabatan Farmasi, Amanah Saham Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji, Maybank Berhad, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional.

-ZS-

Tinggalkan komen anda