
Laporan/foto: Faizul Effendy (Pahang)
KUANTAN, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Bersemangat patriotik dan berjiwa merdeka, itulah yang diterjemahkan oleh 200 pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Kuantan ketika menyertai program Ceramah Kemerdekaan sempena Majlis Penutupan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Sekolah di Kuantan, di sini semalam.
Menurut Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum Aniza Isa, program berkenaan bertujuan mengembangkan kemahiran pelajar istimewa serta menyemai semangat patriotik dalam kalangan mereka yang masing-masing adalah daripada kategori masalah pembelajaran, lembam dan masalah pendengaran.

Aniza menyampaikan cenderamata kepada penceramah.
“Program ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Penerangan.
“Saban tahun, para pelajar sentiasa teruja dan tidak sabar menantikan sambutan Bulan Kebangsaan, malah turut memberi idea kepada pihak sekolah untuk mengadakan pelbagai aktiviti lain seperti bersajak dan pidato,’” katanya.
Beliau turut berharap agar para pelajar berupaya untuk memahami dan menghayati erti kemerdekaan walaupun mereka pelajar-pelajar pendidikan khas.
Menurut seorang pelajar, Muhammad Haziq, 17, beliau berasa begitu bersemangat dan berbangga dapat menyertai program tersebut.

Pelajar membuat persembahan.
“Saya sangat seronok meraikan sambutan Bulan Kebangsaan bersama rakan-rakan dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti mencipta arca merdeka daripada bahan-bahan kitar semula dan melukis poster,” katanya yang turut mengakui ceramah yang disampaikan juga begitu santai dan mudah difahami.
Dalam program tersebut, slot Ceramah Khas Merdeka disampaikan oleh Mohd Faizul Effendy Abd Rahman dari Jabatan Penerangan Negeri Pahang.
Turut mengisi atur cara program adalah nyanyian dan tarian lagu tema Hari Kebangsaan 2024 oleh para pelajar.
SMPKV Kuantan mula beroperasi pada 16 Julai 2012 dengan menawarkan 10 kursus (sembilan kursus Masalah Pembelajaran dan satu kursus Masalah Pendengaran) iaitu Hospitaliti (Penyediaan dan Pembuatan Makanan, Pembuatan Roti, Pembuatan Pastri), Cenderahati dan Industri Kecil (Operasi Pengeluaran Batik), Penternakan (Pekerja Ladang Ruminan, Pekerja Ladang Ternakan Poltri, Operator Akuakultur) dan Pertanian (Pekerja Am Tanaman, Atendan Landskap, Operator Pengeluaran Pemprosesan Makanan).
-ZS-