
Laporan/foto: Faridah Hanim Abdul Ghani/Vikneswaran Rajendran (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Keceriaan jelas terpancar di wajah anak-anak syurga yang bersemangat menyertai setiap aktiviti tanpa menghiraukan keterbatasan fizikal mereka di Program JIWA Merdeka Komuniti MADANI Padang Beka, di sini kelmarin.
Detik yang paling mengharukan ialah ketika anak-anak ini dengan penuh semangat mempersembahkan tarian selamat datang sewaktu majlis perasmian, yang disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras KADUN Pinang Tuggal Ustaz Muhasdey Muhammad.

Senam tari bersama anak-anak PDK Pinang Tunggal.
Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Muhasdey turut menyuarakan sokongan padu terhadap segala usaha Pusat Dalam Komuniti (PDK) Pinang Tunggal dan menyeru agar program seumpama ini diperluaskan ke semua PDK di seluruh Seberang Perai Utara untuk manfaat bersama.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara (JAPEN SPU) bersama PDK Pinang Tunggal ini disemarakkan dengan pelbagai acara yang menarik, antaranya senam tari yang paling mendapat sambutan, serta pertandingan pakaian bertemakan kemerdekaan yang menyerikan lagi suasana.
Menurut Penyelia PDK Pinang Tunggal Zaiton Bakar, aktiviti seperti ini amat bermakna buat anak-anak istimewa kerana ia berfungsi sebagai terapi luar kelas yang mereka gemari.

Keterujaan anak-anak PDK dalam sesi pakaian beragam bertemakan ‘Merdeka’.
“Diharapkan program sebegini dapat terus dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan dan kepentingan PDK,” katanya.
Program yang disertai anak-anak dari PDK Paya Keladi dan PDK Mutiara Kasih ini dapat menyatukan komuniti dalam meraikan kepelbagaian insan istimewa dengan penuh kebanggaan sempena Hari Malaysia yang bakal tiba.
-ZS-