Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pesta Air Kuala Perlis Menarik Pelancong

By 14 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Dalam usaha membangunkan sektor pelancongan negeri Perlis agar  selari dengan hasrat menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025, kerajaan negeri Perlis melihat Pesta Air Kuala Perlis yang  terhenti akibat wabak COVID=19 sejak lima tahun lalu ini wajar dihidupkan semula.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Pesta Air Kuala Perlis bermula sejak tahun 1961 dan merupakan salah satu produk pelancongan yang sangat diminati dan berupaya menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri Perlis untuk datang ke negeri ini bagi menyaksikan acara yang penuh dengan keceriaan dan kemeriahan.

Antara tetamu yang hadir di Majlis Perasmian Pesta Air Kuala Perlis 2024.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga melalui kerjasama dengan Pusat Khidmat ADUN Kuala Perlis telah merancang dan mengatur gerak kerja bagi merealisasi penganjuran Pesta Air Kuala Perlis bermula dari bulan Julai yang lalu iaitu setelah mendapat limpah perkenan daripada Duli Tuanku,” ujarnya.

Majlis perasmian Pesta Air Kuala Perlis 2024 telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ( LKIM ), Kuala Perlis, dekat sini semalam.

Turut berangkat hadir Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen
Akashah Khalil serta anakanda baginda, Yang Amat Mulia ,Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis Bakar Hamzah.

Persembahan artis Jamal Abdillah.

“Kerajaan Negeri yakin dan percaya bahawa penganjuran pesta air ini merupakan salah satu medium untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat khusus menarik minat generasi muda di samping memberikan kesedaran tentang peri pentingnya mengekalkan nilai warisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya .

Hikmah tersirat daripada aktiviti yang dilaksanakan ini adalah untuk mengukuhkan perpaduan dan kerjasama yang terwujud dalam kalangan masyarakat hasil dari program yang telah dirancang.

Untuk makluman, pengunjung dan peserta yang hadir dalam program malam ini dan sepanjang tiga hari program ini berlangsung juga datang daripada negeri dan negara jiran kita iaitu dari Kedah, Sarawak, Pulau Pinang dan juga Thailand.

-ZS-

Tinggalkan komen anda