
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Rasulullah SAW adalah model dalam mengangkat ukhuwah insaniah atau persaudaraan kemanusiaan.
Menurut Ahli Dewan Negara Tan Sri Anifah Aman, Baginda berusaha menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi atas nama agama, bangsa, warna kulit mahupun keturunan.

Simsudin (tiga dari kiri) mengetuai perarakan kontinjen Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
“Antara perjuangan persaudaraan yang wajar kita hayati dan realisasikan adalah semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan umat Islam yang dibina Rasulullah SAW melalui tindakan Baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar.
“Langkah bijak yang diambil oleh Baginda SAW ini telah mewujudkan perasaan saling berkasih sayang, bantu-membantu dan bertolak ansur selain membolehkan umat Islam perlahan-lahan mentransformasi diri menjadi umat yang bersatu padu, kuat, maju dan makmur,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan turut menyeru masyarakat untuk menghayati Sambutan Hari Malaysia yang juga jatuh pada hari itu sebagai peristiwa penting dalam sejarah negara.
“Dalam semangat perpaduan ini, marilah kita bersama-sama menjadikan Hari Malaysia sebagai platform untuk merapatkan lagi hubungan antara kita semua, serta meneruskan usaha-usaha membina negara yang lebih gemilang,” katanya.

Penceramah terkenal dari negara jiran Ustaz Dasat Latif ketika menyampaikan ceramahnya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Pada majlis itu sebanyak 72 kontinjen menyertai perarakan mewakili 10 kategori meliputi jabatan kerajaan, masjid dan kampung, pelbagai peringkat sekolah, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) serta unit beruniform.
Juara keseluruhan bagi Pertandingan Sepanduk dan Perarakan dimenangi oleh kontinjen Masjid Al-Munawwar Kampung Pohon Batu.
Sekitar 5,000 umat Islam yang hadir turut bertuah kerana dapat mendengar ceramah yang disampaikan pendakwah terkenal Ustaz Dasat Latif.
-ZS-