Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Berhati-Hati Dalam Talian Elak Perangkap Scammer

By 18 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Sabah)

PENAMPANG, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Masyarakat dari pelbagai peringkat perlu diberi kesedaran tentang bahaya scammer dan penipuan, seiring dengan kemajuan teknologi dan perubahan dalam aktiviti siber yang semakin kompleks dan rumit.

Duta Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Rahmat Fitri Abdullah mengingatkan masyarakat akan pentingnya untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika menggunakan dalam talian khususnya berkaitan pelawaan menekan pautan secara digital.

Rahmat ketika menyampaikan sesi ceramahnya bersama Komuniti MADANI.

Jelasnya, setiap pautan palsu membolehkan scammer mendapatkan akses ke peranti pengguna seterusnya berupaya untuk memanfaatkan setiap maklumat yang terkandung di dalamnya tanpa pengetahuan.

“Kelemahan orang Malaysia adalah tidak boleh mendengar perkataan seperti tahniah, hadiah, cabutan bertuah, percuma, beli satu percuma satu dan lelong emas diskaun. Inilah antara taktik digunakan scammer bagi memperdayakan anda.

“Perkataan itu datangnya daripada scammer, jadi jangan dilayan kerana akan mengakibatkan duit anda akan melayang,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Permukiman Komuniti MADANI

Suasana program Pemukiman Komuniti MADANI Zon Sabah dan WP Labuan.

Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) Penampang pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Kampung Kilo Lanas, Sook, Keningau Mohd Hilmi Abdullah, berharap agar perkongsian berkenaan scammer dan modus operandi yang digunakan dapat disampaikan dengan lebih meluas terutama di kawasan perkampungan.

“Maklumat yang disampaikan panel penceramah sangat baik dan membantu kami khususnya dari kawasan kampung untuk lebih berhati-hati dengan taktik scammer ini dan berharap akan diperluaskan program seumpama ini ke kawasan kampung-kampung,” ujarnya.

Mewakili komuniti yang sama Salitah Sanadon, 59, berkata kaum wanita juga perlu diberi penekanan terhadap taktik scammer yang sering kali dikaitan dengan penipuan melalui pembelian dalam talian.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana diberikan peluang menyertai program ini di mana selepas mendengar ceramah ini barulah saya sedar, tahu dan faham bagaimana penjenayah scammer ini boleh mendapatkan akses ke telefon pintar kita,” jelasnya.

Untuk makluman, Program Pemukiman Komuniti MADANI Zon Sabah dan WP Labuan anjuran Jabatan Penerangan itu disertai seramai 900 orang ahli Komuniti MADANI melibatkan 219 Komuniti dari seluruh Sabah dan enam dari WP Labuan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda