Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

YTM Tunku Temenggung Kedah Santuni Mangsa Banjir di Pendang

By 23 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Tunku Temengong Kedah selaku Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kebangsaan berkenaan berangkat menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang hari ini.

Tunku Puteri Intan Safinaz turut menyaksikan aktiviti sukaneka yang diadakan bersama kanak-kanak yang berada di sini.

Kehadiran beliau bersama 81 orang anggota sukarelawan dari BSMM adalah berperanan dalam membantu pencegahan penyakit berjangkit bawaan air, khidmat sokongan psikososial kepada mangsa banjir dan akan turut serta dalam membantu membersihkan kediaman di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti terjejas teruk.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh BSMM, pada hari ini juga 3,000 pek makanan akan diagihkan untuk mangsa banjir di sekitar daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang dan Bandar Baharu.

YTM Tunku Temenggung bersama Pegawai Daerah Pendang di PPS SMK Pendang.

“Pek makanan ini merupakan sumbangan bersama dari Nestle Malaysia, Hurix’s, Beras Jati, Lotus dan Ninso dengan kerjasama para sukarelawan dari Institut Perguruan Darul Aman (IPDA), Kolej KEDA, Persatuan Warga Emas Kota Setar dan Majlis Belia Negeri Kedah,” ujar sukarelawan BSMM Ibrahim Md Rani  yang turut serta dalam program pada pagi ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Pendang Nasrun Datuk Mohd Sheriff, penghulu-penghulu mukim daerah Pendang serta wakil-wakil daripada syarikat korporat yang menyumbang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda