
Laporan/foto: Aniss Rahin/Hasbella Hasim (Perak Tengah)
SERI ISKANDAR, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Simulasi pengundian pilihan raya melalui Program JIWA MADANI@Kelab Malaysiaku Daerah Perak Tengah memberi pendedahan awal proses pilihan raya kepada hampir 300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kiri, di sini kelmarin.

Petugas pusat mengundi ketika sesi ikatan tali peti mengundi dengan betul sambil dibantu pegawai dari SPR.
Meskipun peserta terdiri daripada pelajar berusia 13 hingga 16 tahun namun mereka telah menunjukkan minat ingin tahu mengenai proses pengundian pilihan raya yang dilakukan.
Guru penyelaras Kelab Malaysiaku Shafiqa Nur Fatin Arshad, 32, berkata pendekatan yang dibuat oleh penganjur dengan memperluas program ini ke sekolah sangat bermanfaat kepada pelajar.
“Para pelajar diberi pendedahan kepada sistem pilihan raya dan tanggungjawab sebagai pengundi untuk persiapan masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, pelajar, Muhammad Muqriz Naim Khairul Adnan, 16, gembira selepas berpeluang melakonkan situasi sebenar sebagai petugas pusat mengundi.

Proses pengundian dimulakan dengan semakan nama pengundi, penandaan jari dan lipatan kertas undi.
“Sebelum ini proses mengundi ini hanya dapat ditonton di kaca televisyen namun kali ini berpeluang pula untuk merasai pengalaman itu sendiri.
“Sememangnya perasaan ini sangat teruja hendak mengundi tetapi perlu sabar menunggu dua tahun lagi untuk menjadi pengundi muda Gen Z pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” ujarnya.
Taklimat pendidikan mengundi dan simulasi proses pengundian dikendalikan oleh Pegawai Unit Program Pendidikan Mengundi Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak Mohamad Azrul Jamaludin.
-ZS-