
Laporan/foto: Abd Aziz Osman/Mohd Ridhuan Mohd Fadhil (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Perkembangan pesat media sosial tidak dapat dielakkan dan kini tiba masanya langkah drastik diambil bagi mengimbangi kesan positif dan negatifnya.

ASP Azli Ishak dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, IPK Pulau Pinang, selaku panel forum.
Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi telah mewajibkan lesen bagi semua penyedia platform media sosial, bagi tujuan pemantauan agar tidak berlakunya penularan kandungan yang tidak menepati garis panduan yang ditetapkan.
Menurut ASP Azli Ishak dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang, usaha ini sangat membantu dalam menangani jenayah siber seperti penipuan dan buli siber.
“Walaupun teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk mengesan kandungan tidak wajar, cabaran masih wujud apabila penjenayah berupaya menyalahgunakan teknologi yang sama untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya yang hadir selaku panel jemputan bagi Forum Keselamatan Dalam Talian untuk Keluarga dan Kanak-Kanak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, di sini kelmarin.

Kehadiran para peserta forum daripada Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Bertam.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang Hasmiza Hussin dalam ucapannya menekankan bahawa usaha menjaga keharmonian media sosial memerlukan kerjasama semua pihak, terutama ibu bapa.
-ZS-