
Laporan/foto: Sufian Rashid/Shamsul Bahari Abdul Shukor
BUTTERWORTH, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Sistem Elektronik Monitoring Structure Plan (eMOSPlan), sebuah inovasi digital yang bakal merevolusikan perancangan bandar di Pulau Pinang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang (PICCA), hari ini.

Antara peserta yang hadir ke Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Sistem yang dibangunkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Pulau Pinang ini berfungsi sebagai alat pemantauan digital untuk menilai sejauh mana pencapaian teras, dasar, dan langkah-langkah yang dirangka dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030).
Sistem ini dijangka mempercepatkan usaha ke arah pembangunan mampan, selaras dengan matlamat dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar dan progresif.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar serta Desa H’ng Mooi Lye, berkata pelbagai projek perbandaran telah diadaptasi dengan pendekatan digital untuk menangani isu-isu kepincangan bandar.

Penyerahan Laporan Pemantauan Perancangan Fizikal Negeri Pulau Pinang tahun 2023 oleh Dato Rozita Hamit, Pengarah PLANMalaysia Negeri Pulau Pinang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Antara projek utama yang telah dilaksanakan termasuk Penang Free Wifi, lampu jalan LED, Perpustakaan Digital Penang, Penang Smart Bus Stop, Penang Smart Parking, dan Link Bike,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa perkongsian data dan maklumat terkini melalui sistem ini akan mewujudkan kitaran data yang efisien, seterusnya membentuk asas yang kukuh untuk transformasi Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar.
-ZS-