
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)
KOTA KINABALU, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Biarpun tidak bertempur dengan lawan secara fizikal, kategori solo Wak Kru dalam sukan Muay Thai mempunyai cabarannya tersendiri serta memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi daripada atlet.
Berbekalkan semangat juang dan sokongan rakyat Sabah, atlet muda Muay Thai, Jenna Sheryca Dyna Aby Jasli, 16, membuktikan beliau mampu menjadi juara dunia dalam kategori Junior 14-15 Wai Kru Solo Perempuan di Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2024 September lalu.
Menurut Jenna, merangkul pinggat emas untuk kategori Wak Kru bukanlah mudah dan perlu dipersembahkan mengikut pergerakkan yang melambangkan identiti khusus dalam sukan Muay Thai.

Sekitar suasana program
Inspo@JaPen Sabah berlangsung.
“Saya fikir semasa mula-mula menyertai sukan Wai Kru ini hanya perlu ingat setiap pergerakan saja tetapi rupanya setiap pergerakan ada identiti dan maksud sendiri yang mesti dihafal dan tahu apa emosi yang digunakan untuk setiap pergerakan tersebut.
“Saya ingatkan mudah rupanya banyak yang perlu diingat, dipelajari dan dikuasai dalam sukan ini,” kata Jenna ketika ditemubual dalam program Inspo@JaPen Jabatan Penerangan Sabah, di sini pada Khamis.
Sementara itu, dalam mengimbangi tanggungjawab akademik dan sukan, Jenna bijak menyusun jadualnya agar dapat menumpukan perhatian dengan hasil yang cemerlang untuk kedua-dua bidang.
“Selepas balik sekolah saya akan siapkan kerja sekolah, dan saya mengikuti jadual latihan yang ketat, terutama dua minggu sebelum pertandingan.
“Saya berlatih dari pagi hingga malam. Untuk tetap semangat, saya selalu katakan pada diri saya kalau cepat siap, cepatlah pulang.
“Untuk mereka yang berminat dalam sukan ini teruskan usaha anda, dengan banyak membuat latihan, percaya pada diri sendiri yang paling penting hormatlah kepada ibu bapa serta juru latih,” ujarnya.

Sekitar suasana program
Inspo@JaPen Sabah berlangsung.
Mengenang detik kemenangannya, Jenna dengan bangga mengatakan bahawa pingat emas tersebut adalah hasil titik peluh semua yang mendukungnya dan demi mengharumkan nama Malaysia.
“Apabila diumumkan, saya menangis seolah tidak percaya bahawa saya telah menang. Rasa sangat gembira dan berbangga kerana mengharumkan nama negara dan membuktikan Malaysia Boleh.
“Kemenangan itu bukan hanya hasil usaha sendiri, tetapi juga menggambarkan sokongan daripada ibu bapa, guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandau, Kota Marudu dan juru latih, rakan-rakan dan pasukan AWP Martial Art Academy,” kongsinya.
Untuk rekod, kejohanan dunia yang berlangsung di Paragon Hall, Siam Paragon, Bangkok Thailand pada 11 hingga 20 September lalu telah menyaksikan prestasi cemerlang atlet Sabah apabila berjaya membawa pulang 2 pingat emas, 2 pingat perak dan 1 pingat gangsa.