
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kraftangan Malaysia dalam memaju kecemerlangan industri kraf di negeri Perlis dengan memperkasa usahawan kraf terus berdaya maju dan berdaya saing.
Baginda, bertitah demikian di dalam di Majlis Penutupan Festival Kraf Zon Utara (FKU) 2024 di Perbadanan Kraftangan Cawangan Perlis, di sini hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin beramah mesra dengan para peniaga di Festival Kraf Zon Utara
“Kraf merupakan sebahagian daripada seni budaya yang diwarisi sejak dahulu lagi serta menjadi simbol menyatukan perpaduan rakyat terutama dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.
“Kemahiran pertukangan kraf yang diwarisi ini juga menjadi lambang ketinggian ilmu dan mencerminkan jati diri budaya masyarakat dalam sesebuah ketamadunan,” titah baginda.
Tambah baginda lagi, usaha membangunkan lebih ramai komuniti kraf di negeri ini mempelajari kemahiran kraf dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan harus diberikan pujian dan sangat dialu-alukan.
“Saya gembira negeri Perlis mempunyai produk identiti tersendiri yang mengangkat motif Bunga Harumanis dalam penghasilan produk kraf.
“Para pengusaha kraf dan usahawan tempatan di harap dapat menghasil dan menkomersialkan lebih banyak produk kraf beridentiti negeri Perlis,” titah badinda.
Turut berangkat hadir Tuanku Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr.Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Yang Amat Berhormat Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis dan isteri serta Yang Berbahagia Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Yang Berbahagia Datuk ‘Ainu Sham binti Haji Ramli.

Baginda dan Raja Puan Muda Perlis berkenan bergambar kenangan bersama tetamu jemputan.
Tuanku Syed Faizuddin juga mahu melihat rakyat mengambil peluang mengenali keindahan dan keunikan produk kraf agar tersemat dalam sanubari terutama generasi muda.
“Sektor swasta dan korporat juga perlu mengambil langkah seperti Kerajaan Negeri Perlis menyambut inisiatif ini dengan pembelian produk kraf beridentiti negeri bagi tujuan cenderamata dan pakaian korporat.
“Saya berharap agar usahawan dan komuniti kraf di negeri Perlis mahupun di seluruh tanah air terus cemerlang dalam setiap bidang kraf yang diusahakan agar berkembang ke arah lebih dinamik,” titah baginda.
-ZS-