Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

MOT, JPJ Pergiat Tingkat Kesedaran Komuniti Kepentingan Keselamatan Jalan Raya

By 9 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abassalimi Mohamad

KLUANG, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menganjurkan Program Komuniti Selamat di Jalan Raya di Felda Ulu Belitong yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Haji Hasbi Haji Habibollah, di sini semalam.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penduduk setempat, dengan penekanan khusus kepada golongan belia yang merupakan antara penyumbang tertinggi kepada kemalangan jalan raya.

Dif-dif jemputan menyempurnakan acara gimik perasmian.

Dalam ucapannya, Datuk Haji Hasbi menegaskan bahawa statistik tahunan menunjukkan lebih 6,000 kematian direkodkan di jalan raya, dengan 70 peratus daripada jumlah tersebut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, terutama mereka yang berusia antara 16 hingga 35 tahun.

“Kesedaran mengenai keselamatan jalan raya amat penting untuk mengurangkan angka kemalangan yang amat membimbangkan ini.

“Saya berharap program ini dapat terus mengukuhkan kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan jalan raya serta mengurangkan kemalangan dalam kalangan pengguna jalan raya di Malaysia,” katanya.

Demonstrasi melintas jalan selamat oleh pelajar Tabika KEMAS dan penjaga.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Tn Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata penghargaan harus diberikan kepada kerajaan persekutuan atas kelulusan peruntukan untuk melebarkan lebuh raya dari Senai ke Sedenak.

“Projek yang akan dilaksanakan ini diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutamanya pada musim perayaan serta akan memberikan keselesaan kepada penggunanya dan kita sebagai rakyat Malaysia patut gembira dengan perkhabaran ini,” katanya.

Pelbagai aktiviti telah diadakan semasa program ini termasuk advokasi keselamatan jalan raya, pertukaran topi keledar, simulasi melintas jalan untuk kanak-kanak, demonstrasi penyelamatan oleh pihak bomba, aktiviti-aktiviti komuniti seperti futsal persahabatan dan perkhidmatan kaunter bergerak yang berjaya merapatkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat setempat.

Turut hadir pada program ini adalah Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang Nurul Izah Zubir dan Timbalan Pengarah Felda Wilayah Segamat Normawati Alir Nor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda