Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Okoris Maskot Rasmi Sukan SEA U18 2024

By 11 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Suzaima Ibrahim/Mohd Sazwan Roslan (Sabah)

KOTA KINABALU, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Spesis orang utan tempatan yang dinamakan Okoris dipilih sebagai maskot rasmi Sukan SEA Remaja Bawah 18 tahun (SEA U18) 2024.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin, berkata pemilihan Okoris melambangkan kekuatan, semangat juang dan kesungguhan atlet muda kita dalam kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu dari 28 hingga 30 November depan.

Ellron (dua dari kiri) ketika melancarkan maskot dan logo SEA U18.

“Reka bentuk Okoris yang dinamik dan berani, mencerminkan cita-cita dan aspirasi semua atlet remaja yang akan beraksi di pentas Sukan SEA Remaja Bawah 18.

“Maskot ini bukan hanya hiasan, tetapi ia adalah lambang perpaduan, keazaman dan harapan. Kita percaya bahawa Okoris akan menjadi sumber inspirasi kepada para atlet muda untuk memberikan yang terbaik serta menarik minat lebih ramai generasi muda untuk aktif dalam sukan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Maskot dan Logo Sukan SEA Remaja Bawah 18 tahun, di sini semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Olahraga Sabah Mohammat Hassan, berkata Persatuan Olahraga Sabah melihat kejohanan itu bukan lagi sekadar suatu sukan semata-mata, malah ia merupakan industri yang boleh menjana pendapatan negeri dan negara.

“Maskot Okoris ini melambangkan habitat semula jadi bagi haiwan tersebut, yang mana ia adalah sesuatu yang boleh mempromosikan pelancongan negeri Sabah.

“Okoris bersifat berani dan tidak akan mudah berputus asa dalam melakukan apa yang diinginkan.

Ellron (tengah) diiringi Josephine (tiga dari kiri) dan Mohammat (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama Okoris maskot SEA U18.

“Bertepatan dengan objektif sebenar SEA U18 adalah untuk mencungkil bakat baru dan pembangunan atlet yang bertaraf dunia,” ujarnya.

Menurutnya, Kejohanan SEA U18 itu dijadualkan berlangsung pada 28 November depan melibatkan penyertaan 11 buah negara yang akan bertanding.

Hadir sama Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia Josephine Kang Teok Koon, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun, Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Terrance Edward Pudin serta Timbalan Setiausaha Tetap Sektor Pengurusan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan Sabah Adnan Atin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda