
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)
KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Inisiatif untuk memelihara teknik membuat kraf tangan tradisional dan memperkenalkan inovasi penggunaan bambu dalam kraf tangan memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan warisan budaya.
Pengusaha kraf tangan Sanisah William, 47, berkata usaha menghasilkan pelbagai kraf tangan daripada hasil rimba itu bermula daripada pembuatan topi tradisional ‘sirung’, yang dihasilkan secara turun-temurun.

Antara kraftangan dari bambu yang terdapat di gerai Seri Elf yang berharga RM12 hingga RM500 bergantung pada rekabentuk anyaman dan corak.
Jelas Sanisah kemahiran yang diwarisi daripada keluarga mertuanya ini dikembangkan melalui kerjasama Komuniti Kampung Kelarai, Sook, Keningau untuk melestarikan dan memelihara teknik anyaman tradisional berkenaan.
“Dengan kemahiran menganyam, kami bersama komuniti kampung cuba menghasilkan produk yang boleh digunakan orang ramai, kerana kini ‘sirung’ tidak lagi banyak digunakan. Jadi kami cuba inovasikan seni anyaman ini sesuai dengan peredaran zaman agar seni anyaman daripada bambu ini tidak lupus ditelan zaman.
“Saya dan beberapa pengusaha kraf tangan lain juga bergerak di bawah syarikat Seri Elf diketuai oleh Emily Jeneble dan menerusi syarikat ini penggiat kraf tangan mendapat bimbingan, bantuan kewangan dan kemudahan dari Kraftangan Malaysia, Giat MARA dan Yayasan Sabah,” katanya ketika ditemui pada Festival Kraf Borneo di sini pada Jumaat.
Menerapkan penggunaan corak tradisi masyarakat di pedalaman, penggiat kraf tangan Komuniti Kampung Kelarai, Sook berjaya menghasilkan beberapa aksesori tradisi kontemporari antaraya beg silang, fail simpanan dokumen, beg komputer riba, dompet kecil, tikar dan alas gelas.

Topi Murut atau topi raja antara kraf tangan bambu unik dihasilkan komuniti kampung Batu Lunguyan.
Festival Kraf Borneo berlangsung bermula dari 26 September lalu hingga 13 Oktober ini bertempat di Pusat Beli Belah One Borneo Kota Kinabalu menghimpunkan pengusaha kraf tradisional daripada Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
-ZS-