Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Hari Sukan Kampung KEDA Asam Jawa Bukan Sekadar Memenuhi Agenda Tahunan

By 15 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Penganjuran sambutan hari sukan bukan hanya sekadar untuk memenuhi agenda tahunan Hari Sukan Negara semata-mata, sebaliknya ia membuka ruang untuk masyarakat mengenali antara satu sama lain dan mengeratkan hubungan sesama sendiri dalam penyertaan setiap acara yang dipertandingkan.

Acara Tarik Tali antara sukan rakyat yang mendapat sambutan dan penyertaan pelbagai lapisan umur.

Menurut Pegawai Pembangunan KEDA Zon 3 (Pendang/Pokok Sena) Mohd Hafiz Ahmad, walaupun diadakan pada hari bekerja, program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga komuniti.

“Saya berharap agar aktiviti sukan ini menjadi salah satu rutin harian dalam kehidupan masyarakat agar dapat mewujudkan insan yang cergas dan sihat dari segi mental dan fizikal,” ujarnya.

Program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu telah dimulai dengan larian sejauh 3.5 kilometer, seterusnya diikuti dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka, sukan rakyat, senamrobik, kaunter pameran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Program Jualan Rahmah, gerai jualan makanan serta taklimat isu-isu semasa.

Kerusi muzik dewasa antara acara sukaneka yang dipertandingkan.

Pegawai Penerangan Daerah Pendang Syamimi Aaizag Ibrahim dalam ucapan aluan sempena Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI peringkat DUN Sungai Tiang yang diadakan di Padang Awam Kampung KEDA Asam Jawa semalam, berkata suasana harmoni, semangat berpasukan dan kesungguhan setiap peserta dalam pelbagai acara sukan yang disertai dapat dilihat dan ia adalah satu perkara yang positif.

“Selain itu aktiviti sukan ini juga dapat membantu kita meregangkan otot dan secara tidak langsung dapat merehatkan minda,” jelasnya.

Dianggarkan seramai hampir 200 orang daripaad pelbagai lapisan masyarakat daripada komuniti Kampung KEDA Asam Jawa, Kampung Sungai Durian, Kampung Tok Set serta beberapa kampung dari kawasan berdekatan menyertai hari sukan tersebut.

-ZS-

Tinggalkan komen anda