
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara, Klinik Kesihatan Mahmoodiah dengan kerjasama Panel Kesihatan Klinik Mahmoodiah dan Komuniti MADANI Cemerlang melancarkan kempen Minggu Pink Oktober bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
Ia dianjurkan bagi meningkatkan penglibatan komuniti dalam memupuk kesedaran tentang kanser payudara dan betapa pentingnya usaha dalam menggalakkan pengesanan awal kanser payudara dikalangan komuniti.

Azharizan Yusoff (kiri) dan Rose Fazlinda Mohd Rusli (kanan) antara pejuang kanser yang dijemput untuk berkongsi pengalaman bersama peserta-peserta program kempen Minggu ‘Pink Oktober’ sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara di Klinik Mahmoodiah, Johor Bahru.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Mahmoodiah Dr. V.Paranthaman, berkata masyarakat perlu memperkasakan diri dengan pengetahuan dan memecahkan stigma kanser dengan menyebarkan mesej bahawa pengesanan awal menyelamatkan nyawa.
“Di Malaysia, kanser payudara kekal sebagai kanser paling biasa dihidapi golongan wanita tetapi berita baiknya ialah pengesanan awal meningkatkan peluang rawatan dan kelangsungan hidup yang berjaya,” katanya ketika merasmikan Bulan Kesedaran Kanser Payudara, di Klinik Kesihatan Mahmoodiah, di sini semalam.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Johor Bahru Baniamin Abu Bakar dan Pengerusi Komuniti MADANI Cemerlang Ernie Yanti Mohmud.
Salah seorang pejuang kanser payudara, Azharizan Yusoff, 49, berkata apabila disahkan menghidap penyakit kanser payudara, beliau sangat terkejut kerana sebelum ini beliau seorang yang menjaga pemakanan dan sering aktif dalam kehidupan harian.
“Namun saya terima dugaan ini dan perlu menguatkan semangat untuk berjumpa doktor dan menerima rawatan agar boleh kembali sihat dan menjaga keluarga,” katanya yang berniaga sendiri bersama suami sebagai punca pendapatan.

Sesi ‘Heart to Heart’ sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara meningkatkan kesedaran dalam komuniti tentang kanser payudara dan betapa pentingnya pengesanan awal penyakit ini.
Sepanjang menjalani rawatan, Azharizan terpaksa berhenti berniaga namun bantuan bulanan yang diterima dari Majlis Kanser Nasional (MAKNA) meringankan beban tanggungan yang dihadapi.
Rose Fazlinda Mohd Rusli, 48, pula memaklumkan bahawa beliau menghidap kanser payudara pada tahun 2012 namun kansernya kembali menyerang lima tahun kemudian.
“Pada tempoh sukar ini, saya meneruskan juga rawatan bersama doktor di hospital kerajaan tanpa mengambil ubat tambahan dari luar selain menerima sokongan tanpa henti dari keluarga dan masyarakat sekeliling,” katanya.
-ZS-