Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Fenomena Air Pasang Besar, Penduduk Diminta Waspada

By 16 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/APM Bagan Datuk

RUNGKUP, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Penduduk yang tinggal di kawasan Hilir Perak khususnya di Bagan Datuk diminta berwaspada risiko berlakunya banjir disebabkan faktor fenomena air pasang besar disertai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang melibatkan beberapa daerah.

Kapten (PA) Mohd Fazly memberi taklimat kepada Orang Besar Jajahan Bagan Datuk Datuk Dr. Khalid Ismail (bertopi gelap) dan Pegawai Daerah Muhamad Ghopran Yeop Hamzah (bertopi putih) berkenaan situasi terkini di daerah Bagan Datuk

Berdasarkan ramalan awal banjir negeri Perak yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), beberapa siri fenomena air pasang besar melebihi paras biasa akan berlaku bermula minggu ini sehingga 22 Oktober.

Paras air tertinggi diramalkan antara 3.1 meter hingga 3.4 meter dan jika disertai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan meningkatkan risiko banjir di kawasan terlibat.

Sehubungan itu, Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Bagan Datuk Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi, mengingatkan penduduk yang mendiami kawasan persisir laut, tebing Sungai Perak dan Sungai Bernam agar lebih berhati-hati dan tidak ke laut buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

Kapten (PA) Mohd Fazly memberi taklimat kepada anggota APM sebelum sebarang tugasan dilaksanakan

“Penduduk digalakkan hanya tinggal di rumah dalam tempoh tersebut dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa,” katanya ketika ditemubual di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Bagan Datuk, semalam.

Beliau turut mengingatkan agar dokumen penting termasuk barangan berharga disimpan atau dialihkan ke tempat tinggi jika rumah berisiko dimasuki air.

“Elakkan menggunakan peralatan elektrik bagi mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik dan halang keluarga terutama anak-anak daripada bermain air di kawasan banjir bagi mengelakkan terpijak objek tajam atau dipatuk ular berbisa,” ujarnya.

Orang awam yang memerlukan sebarang perkhidmatan kes kecemasan seperti bantuan bencana alam, kemalangan jalan raya, hilang atau sesat di hutan dan kemalangan di air boleh menghubungi Malaysian Emergency Response Services (MERS) di talian kecemasan 999.

-AA-

Tinggalkan komen anda