
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)
IPOH, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada Jumaat ini pastinya dinanti-nantikan oleh rakyat.
Suri rumah Siti Haida Mohd Iesa, 28, berharap agar kerajaan meneliti harga barangan keperluan yang naik mendadak pada masa kini.

Macia berharap bantuan kewangan termasuk biasiswa kepada pelajar ditingkatkan.
“Saya sebagai seorang suri rumah yang mempunyai dua anak dapat merasai kenaikan harga pada tahun ini terutama pada barangan keperluan termasuk susu dan lampin pakai buang.
“Pastinya perkara ini memberi kesan kepada saya sekeluarga dan saya amat berharap bantuan kewangan sedia ada dapat dinaikkan bagi membantu menampung perbelanjaan keperluan seharian ini,” katanya.
Bagi pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Macia, 29, dia berharap belanjawan kali ini turut memberi fokus bantuan kewangan kepada golongan pelajar di institut pengajian tinggi.
“Hal ini termasuklah dari segi biasiswa penuh serta skim pembiayaan yang lebih fleksibel untuk meringankan beban kewangan pelajar.
“Selain itu, harapan saya bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkukuh agar dapat membantu lebih ramai pelajar memilih laluan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri semasa seterusnya memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya.

Nor Asmah berharap bidang kesenian dan budaya tidak dilupakan.
Sementara itu, penggiat seni wau Nor Asmah Daud, 49, berharap Belanjawan 2025 turut menekankan peruntukan atau penambahbaikan khususnya dalam bidang kesenian dan budaya.
“Sebagai pembuat wau, saya ingin mengangkat keunikan wau negeri ini iaitu Wau Seri Bulan dan besarlah harapan saya agar kerajaan membantu mengangkat kembali martabat permainan tradisional ini supaya generasi muda dapat terus mengenalinya,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
-ZS-