
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Isu banjir, pencemaran bunyi dan habuk akibat kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi kerisauan penduduk di sini akhirnya menemukan jalan penyelesaian.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia hasil libat urus antara pihaknya bersama agensi terlibat dan wakil-wakil penduduk semalam.

Amirudin memaklumkan isu banjir, gangguan bunyi dan habuk yang disuarakan penduduk Gombak menemukan jalan penyelesaian hasil libat urus semalam.
Menurutnya, banjir yang berlaku di kawasan itu terutama di Kampung Sungai Chinchin disebabkan pemasangan penghadang di sebahagian Sungai Gombak bagi tujuan membina tiang landasan ECRL.
“Sebanyak 21 buah rumah di Kampung Sungai Chinchin terpaksa dipindahkan sementara selama enam bulan, dengan sebahagian kos ditanggung oleh Malaysia Rail Link (MRL).
“Kita yakin proses pemindahan ini berjalan lancar dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan MRL,” katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Sungai Chinchin, di sini semalam.
Berkaitan aduan gangguan bunyi dan habuk, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata pihak berkuasa bersama MRL sedang berusaha meminimumkan kesan gangguan tersebut.
“Kami sentiasa memantau perkembangan ini dan pihak kontraktor telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengurangkan kesan bunyi dan habuk,” jelasnya.

Projek ECRL bernilai RM50.27 billion telah memulakan pembinaan di Gombak.
Projek ECRL bernilai RM50.27 bilion sepanjang 665 kilometer menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan Pantai Barat merentasi 20 stesen di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
ECRL yang dijangka akan memulakan operasinya pada 2027 bakal menjimatkan masa perjalanan antara Gombak ke Kota Bharu kepada empat jam melalui perkhidmatan ekspress yang ditawarkan berbanding perjalanan biasa antara tujuh hingga lapan jam.
-ZS-