
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan Selangor masih membuka pendaftran Skim Air Darul Ehsan (SADE) sepanjang tahun ini untuk pemegang akaun yang berkelayakan.

Kelihatan Amirudin sedang bergurau dengan seorang kanak-kanak ketika hadir di Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Air Selangor di Padang Batu Caves semalam.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sehingga kini seramai 340,000 pemegang akaun telah mendaftar.
“Pendaftarannya dipanjangkan setiap tahun dan ianya ditumpu setiap akaun mereka yang berkelayakan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun Air Selangor Kelima Bersama Komuniti DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves di sini semalam.
Program inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR Air) Selangor itu dengan penyerahan 300 bakul makanan Box of Hope kepada penduduk komuniti Sungai Tua dan rumah kebajikan terpilih.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Johary Anuar dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali.
Tambah beliau, dianggarkan sebanyak 600,000 pemegang akaun di Selangor layak mendaftar SADE.

Pengunjung Majlis Ulang Tahun Kelima Air Selangor sedang mendengar penerangan daripada salah seorang petugas reruai.
“Saya akan galakkan ketua komuniti dan ketua kampung untuk daftarkan lebih ramai orang sebab kita menganggarkan sekitar 600,000 akaun layak memohon.
“Sebab mereka akan dapat 20 meter padu air percuma, banyak membantu kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
SADE adalah program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk Negeri Selangor warganegara Malaysia dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.
-ZS-