
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Pejabat Kesihatan Daerah Pontian (Pontian)
PONTIAN, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan pada tahun lepas mendapati satu juta penduduk di Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas mengalami kemurungan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, berkata bilangan individu yang mengalami kemurungan meningkat hampir dua kali ganda pada tahun lepas berbanding pada tahun 2019 dan hampir separuh golongan ini mempunyai kecenderungan untuk mencederakan diri atau membunuh diri.

Program turut dimeriahkan dengan acara larian ceria sekitar kawasan Tanjung Piai, Pontian.
“Mengikut peringkat umur, kemurungan adalah tertinggi di usia 16-19 tahun (7.9 peratus), diikuti peringkat umur 20-29 tahun (7.6 peratus) dan 30-39 tahun (4.1 peratus) menurut hasil tinjauan NHMS tersebut.
“Justeru terdapat tiga langkah pendekatan yang perlu diambil oleh sesuatu organisasi dalam menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja iaitu meningkatkan tahap literasi kesihatan mental warga bekerja, menoktahkan stigma dan salah faham masyarakat terhadap perbezaan masalah kesihatan mental dan memperkasa sokongan daripada aspek psikososial di tempat kerja,” katanya ketika merasmikan Program Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Daerah Pontian di Taman Negara Tanjung Piai, di sini pagi tadi.

Acara gimik perasmian.
Tambah Dr. Mohtar, Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut setiap tahun pada 10 Oktober dan tema sambutan kali ini adalah ‘Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja’ yang menitikberatkan kesejahteraan persekitaran tempat kerja yang sihat bagi semua anggota.
Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Daerah Pontian Muhammad Haziq Abdul Latif, Pengarah Perbadanan Taman Negara Negeri Johor Taufiq Bahar dan Pegawai Kesihatan Daerah Pontian Dr. Norli Rosli.
-ZS-