
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)
TAWAU, 30 Okt (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus melaksanakan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) di seluruh negara termasuk di daerah ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif ini melibatkan sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan, industri, pihak tatakelola dan rakyat bagi memastikan subsidi barang kawalan sampai kepada golongan yang memerlukan.

Penyerahan MOU kepada rakan strategik KITA GEMPUR.
“Gerakan ini bukan sahaja digerakkan oleh KPDN, tetapi juga mendapat komitmen kuat daripada pihak swasta yang terlibat dalam rantaian bekalan barang kawalan.
“Pada hari ini, 99 wakil strategik KPDN di Tawau termasuk transporter (pengangkutan), pengusaha stesen minyak, syarikat pembungkus minyak masak, serta pemborong dan peruncit utama telah menzahirkan sokongan mereka melalui penandatangan surat aku janji untuk bersama-sama menjayakan program KITA GEMPUR,” katanya selepas menyempurnakan Program Kita Gempur@Tawau di sini pada Isnin.
Beliau turut menekankan bahawa program ini akan diperluaskan melibatkan semua pemegang Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN juga menjalin kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengawal ketirisan di sempadan dan dalam negara.
“KPDN berharap agar tindakan seperti ini dapat membendung kenderaan yang dimodifikasi untuk mengelakkan pembelian bahan api bersubsidi secara berulang dan yang menyalahi undang-undang,” jelasnya.

Majlis menandatangan MOU ‘KITA GEMPUR.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru agar masyarakat turut serta menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan.
“Kami amat menghargai jika rakyat memberikan aduan atau maklumat sekiranya melihat sebarang manipulasi harga atau ketirisan. Setiap laporan akan disiasat dan tindakan susulan akan diambil bagi memastikan ketirisan ini tidak menjadi norma,” tegasnya.
Untuk rekod, Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober lalu dengan mengukuhkan kerjasama pelbagai pihak dalam usaha membanteras manipulasi dan ketirisan barang kawalan di seluruh negara.
-ZS-