
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia meraikan seramai 87 graduan sempena Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-22 yang berlangsung di Dewan Cindai, di sini hari ini.

Mohd Ariffin menerima sijil pengiktirafan sebagai Adiguru Pertukangan Perak.
Istiadat konvokesyen berkenaan melibatkan seramai 48 graduan Diploma Seni Kraf, empat graduan Sijil Seni Kraf, 26 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), dua graduan Sijil Tenun Pahang Diraja dan tujuh graduan SKM melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT).
Majlis Konvokesyen IKN serta penyampaian sijil kepada graduan disempurnakan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman dan turut dihadiri Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk ‘Ainu Sham Ramli.
Menurut Roslan, tanggapan terhadap bidang seni dan budaya tidak begitu penting dan tidak menyumbang kepada masa depan serta tiada peluang kerja adalah tidak tepat.
“Kraftangan Malaysia telah berjaya menghasilkan 6,885 orang usahawan dan berjaya menjana nilai sebanyak RM328.4 juta sehingga 31 Oktober 2024.
“Ini terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan IKN mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu 82 peratus,” katanya.
Sementara itu, Kraftangan Malaysia turut menyampaikan Watikah Pelantikan Adiguru kepada dua individu iaitu Mohd Ariffin Wook (Kraf Pertukangan Perak) dan Zainab Husain (Kraf Tembikar Mambong).

Roslan (dua dari kiri) melihat pameran kraf seramik yang dihasilkan graduan sempena Istiadat Konvokesyen IKN ke-22.
Mohd Ariffin atau lebih dikenali sebagai Pak Nawi, 75, berasal dari Kelantan melahirkan perasaan terharu dan gembira apabila diiktiraf sebagai Adiguru setelah menceburi bidang pertukangan perak sejak lebih 50 tahun lalu.
“Ini adalah pengiktirafan pertama dalam hidup saya sejak menceburi bidang ini ketika berumur 21 tahun.
“Saya masih lagi aktif menghasilkan kraf perak di samping seorang menantu yang mengikut jejak,” jelasnya.
-ZS-