
Laporan/foto: Ahmad Syafri Husnaini/ATM
MARANG, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Anggota 18 RAMD (Para) terlibat dalam operasi menyelamat dan pemindahan penduduk yang terperangkap akibat banjir di Kampung Kubu, di sini petang tadi.

Tujuh keluarga telah berjaya dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Kubu, Marang.
Pegawai Memerintah 18 RAMD (Para) Leftenan Kolonel Mohd Ashafiq Abdul Aziz ketika ditemui, berkata operasi tersebut diketuai Ketua Kompeni 18 RAMD (Para) Kapten Muhamad Akmal Abdul Samad bersama dua pegawai dan 31 anggota lain-lain pangkat.
“Dalam operasi ini, seramai tujuh keluarga telah berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kubu, Marang.

Operasi memindahkan penduduk kampung menggunakan aset kenderaan milik ATM.
“Kampung Kubu mengalami kenaikan paras air yang mendadak menyebabkan penduduk terperangkap dan tidak dapat keluar. Bantuan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaksanakan untuk memastikan keselamatan penduduk yang terjejas,” katanya.
-ZS-