
Laporan/foto: Norfatihah Abd Jamin/Mohd Farhan Abd Rahim (Kinta)
IPOH, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengadakan lawatan di sekitar Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini petang semalam berikutan kawasan tersebut dilanda banjir Ahad lalu.

Lawatan Nga Kor Ming ke kawasan terjejas banjir
Dalam lawatan tersebut, Nga berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM108 juta untuk pembinaan tebatan banjir.

Nga Kor Ming meninjau kerja-kerja membaik pulih ban yang terjejas di Arena Kepayang
“Kerja-kerja pembinaan ban setinggi satu meter dan sepanjang 600 meter sedang giat dilakukan selain pemasangan pam oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) untuk mengeluarkan air dan membersihkan sistem perparitan di kawasan sekitar supaya tiada longkang yang tersumbat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang.
Nga turut mengumumkan bantuan kecemasan kepada 255 keluarga yang terlibat akan diberi dengan kadar segera, malah kira-kira 200 unit tilam turut disumbangkan kepada penduduk terjejas banjir dalam lawatan tersebut.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kinta merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Zulhisham Ahmad Shukori menasihatkan orang awam untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara yang ditetapkan apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.
“Orang awam terutamanya di kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa dan JPBD sentiasa bersiap siaga dan bertindak pantas dalam membantu mangsa banjir,” ujarnya.
Hadir sama ADUN Canning Jenny Choi Tsi Jen, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Pengarah JPS Perak Ir Dr Asnor Muizan Datuk Ishak.
-AA-