Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Pengusaha Baharu TKPM perlu Sentiasa Komited Menjayakan Aktiviti Penternakan

By 20 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT 20 Dis (Malaysiaaktif) – Semua pengusaha baharu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) perlu sentiasa komited untuk menjayakan setiap aktiviti penternakan yang dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip, berkata program TKPM adalah salah satu langkah kerajaan untuk memberi galakan kepada pengusaha untuk sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan aktiviti perternakan.

Penyerahan Borang Terima Setuju kepada pengusaha baharu TKPM oleh Zahari.

“Selain itu, secara tidak langsung ia merupakan tindakan daripada kerajaan bagi meningkatkan bilangan populasi ternakan semasa dalam negeri Johor dan meningkatkan kualiti ternakan sedia ada.

“Pada tahun ini Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah memperuntukkan sejumlah RM322,000 untuk projek pembangunan makanan ternakan dan TKPM,” katanya.

Zahari, berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Bersama Pengusaha TKPM Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor Daerah Segamat, Muar dan Tangkak 2024, di Perkarangan Pejabat Veterinar Segamat, di sini semalam.

Masariff Masduki, 50, salah seorang pengusaha baharu TPKM hadir bagi menerima Borang Setuju Terima.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor Dr. Jamaliah Senawia, antara objektif sesi libat urus tersebut adalah untuk meraikan pengusaha baharu TKPM yang telah berjaya melalui fasa permohonan dan temu duga serta mendapat persetujuan ahli jawatankuasa mesyuarat.

“Seramai 34 orang pengusaha baharu hadir dan ditawarkan untuk mengusahakan TKPM Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor bagi daerah Segamat, Muar dan Tangkak,” katanya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor Yosri Mohd.

-ZS-

Tinggalkan komen anda