
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
PASIR MAS, 29 Dis (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) terus memainkan peranan penting dalam menyatukan pelbagai kaum serta memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat setempat.

Pengarah JPNIN Negeri Kelantan Ahmad Nazif Mohamad (kanan), Che Rahim Che Haron, Mohamad Sobri Mat Daud dan Muhammad Afifi Mohd Nor.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha JPNIN Mohamad Sobri Mat Daud, KRT merupakan medium utama dalam memupuk perpaduan di peringkat komuniti.
“Kami di peringkat kementerian akan terus menyokong usaha menjalin perpaduan rakyat demi melahirkan sebuah negara yang aman dan harmoni,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Program Karnival Keluarga KRT Kampung Binjai di Chetok, di sini kelmarin.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan terus menyediakan peruntukan dan suntikan dana kepada penduduk yang berpotensi memajukan ekonomi khususnya dalam sektor pertanian.
Sementara itu, Pengerusi KRT Kampung Binjai Muhammad Afifi Mohd Nor, 44, berkata program selama dua hari tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
“Walaupun cuaca tidak menentu, program ini berjaya meningkatkan perpaduan dan kesejahteraan di kampung. Malah, keselamatan kampung juga terjamin dengan rondaan yang dilakukan oleh KRT bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) dengan sokongan PDRM,” ujarnya.

Muhammad Afifi ketika menyampaikan ucapan.
Penduduk yang turut hadir, Che Rahim Che Haron, 65, menyifatkan program seperti ini wajar diteruskan kerana mampu menyemai semangat permuafakatan.
“Saya lihat ramai penduduk hadir bersama keluarga untuk beriadah mendapat informasi terkini daripada pihak kerajaan,” katanya yang juga pesara kerajaan dan kin menjadi Setiausaha KRT Kangkong, Pasir Mas.
Program Karnival Keluarga KRT Kampung Binjai diadakan di Dataran KRT Kampung Binjai dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran dan Program Jualan Rahmah, sumbangan kepada golongan asnaf, sukan tradisional, cabutan bertuah dan lain-lain.
-ZS-