Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

KRT Progresif: Perkasa Keselamatan Komuniti

By 2 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

KOTA BHARU, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan dilakukan secara sukarela.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan Ahmad Nazif Mohamed, menegaskan bahawa KRT memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni.

Ahmad Nazif ketika gimik Perasmian Penutup Bengkel Pemantapan Skim Rondaan Sukarela RT Progresif 2024 Peringkat Negeri Kelantan.

“Masyarakat digalakkan untuk terlibat dalam rondaan keselamatan dengan kerjasama pihak polis bagi memastikan kawasan perumahan mereka selamat,” katanya sempena Bengkel Pemantapan Skim Rondaan Sukarela (SRS) RT Progresif 2024 Peringkat Negeri Kelantan, di sini kelmarin.

Ahmad Nazif turut memuji komitmen tinggi ahli KRT dalam usaha memerangi jenayah dan memperkukuh keselamatan komuniti.

“Bengkel ini memberi peluang kepada ahli KRT dan SRS untuk mempelajari pengurusan KRT dengan lebih efektif dan sistematik,” ujarnya.

Pegawai Perpaduan JPNIN Daerah Kota Bharu Wee Chu Suan, meluahkan rasa syukur atas kejayaan bengkel tersebut meskipun dianjurkan dalam tempoh notis yang singkat.

Penyampaian sijil kepada ahli SRS yang hadir.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk agensi kerajaan, yang tetap komited walaupun pada hari terakhir tahun 2024,” katanya dengan senyuman puas.

Pengerusi KRT Bukit Kechik, Tanah Merah, Mohamad Noor Hasan, 64, menyifatkan bengkel itu sebagai peluang berharga untuk memperkukuh keupayaan mereka.

“Saya bersama ahli-ahli KRT akan berganding bahu dan berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang selamat. Insya-Allah, ilmu yang diperoleh hari ini akan kami kongsikan untuk memperkasakan KRT di kawasan kami,” katanya.

Bengkel ini turut melibatkan pembentangan empat kertas kerja serta taklimat keselamatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mendapat perhatian dan sambutan positif daripada para peserta.

-ZS-

Tinggalkan komen anda